Sunday, January 10, 2016

Kitab Depresi

Ramai tidak tahu betapa sukarnya berhadapan dengan depresi. Di luar, aku sengih tayang gigi dengan penuh keyakinan walhal di dalam, perasaan aku bergolak bagai badai tsunami dan aku sendiri tidak tahu apakah sebabnya. Yang aku tahu, bila-bila masa sahaja aku boleh koyak dan teriak di khalayak ramai jikalau aku hilang fokus dalam mengawal depresi ini. Rasa depresi ini sudah lama meracuni aku dan kini hati aku makin tenat, makin nazak. Aku telan segala natijah dan anggap semuaya berpunca daripada khilaf aku. Ya, semuanya khilaf aku. Biar aku tanggung semuanya. Biar aku berlagak seperti hero dan mati dengan penuh berjasa. Tidak, manusia tidak akan pandang manusia sebegini. Manusia yang penuh dengan kekhilafan adalah jijik! Keji dan kotor ibarat anjing kurap yang berkeliaran di lorong-lorong busuk! Ya, busuk seperti hati aku barangkali. Aku ini manusia pendendam. Asal ada sahaja keburukan yang jatuh kepada aku, aku akan berdendam dan kesumat ini tidak akan terhapus sebegitu sahaja. Perkataan maaf itu bodoh. Sememangnya bodoh dan tidak berguna. Apa kau fikir dengan mengucap kalimah maaf itu, keadaan akan berubah seperti asal, bagai tiada apa-apa yang pernah terjadi? Ramai manusia menyalahgunakan terma maaf untuk melepaskan diri daripada rasa bersalah. Sedarilah bahawa maaf itu tidak ada nilainya selagi kau tidak mahu mengubah natijah yang kau bawakan. Ya, orang seperti aku tidak layak dimaafkan. Oleh semua orang dan oleh diri aku sendiri, maaf itu tidak akan melekat lama pada diri ini. Celaka. Apa gunanya hidup jika tidak berguna. Ya, mungkin aku patut mati. Tapi aku tidak boleh bunuh diri. Berdosa. Jadi aku harap setiap kali aku di jalan raya, akan ada kereta yang tersasar dari jalannya dan menghentam aku. Mati. Ataupun aku bergegas menuruni tangga, lantas tergelincir jatuh kepala tersembam ke atas lantai. Mati. Ya, apa sahaja cara asalkan hidup ini dapat diberhentikan. Aku sudah tidak tahan. Rasa rabak dan koyak pada hati ini terlalu banyak, masa tidak akan mampu mengubati semuanya. Setiap kali aku bangun daripada tidur, masa berjaga berlalu dengan perlahan sekali. Tohmahan dan kesakitan yang dipalit orang sekeliling, rasanya terlalu pedih sekali. Tidak, bukan salah mereka. Khilaf aku semuanya. Jadi aku tidur. Tidur pengubat segala duka. Tidak. Tidur buatkan aku leka dan lupa sebentar mengenai segala kesakitan. Tetapi sejak kebelakangan ini aku sukar untuk tidur. Bangsat. Bagaimana hendak lupa jika aku tidak boleh tidur. Tiga jam diluangkan untuk lelapkan kelopak mata ini. Aku mahu tidur selama yang mungkin. Biar aku bangun dan semua masalah selesai. Tidak. Sekarang ini aku tidak boleh melarikan diri di alam mimpi. Kau ada di sana. Mengapa kau ada di sana? Aku cari kau semasa jaga dan kau tiada. Sekarang aku mahu lupakan kau di waktu tidur, kau muncul secara tiba-tiba. Entah berapa malam kau hadir dalam mimpi aku, hanya membawa kesakitan sebagaimana kau berikan semasa aku berjaga. Aku cuba bercakap dengan tuhan, kerana ini semua perancanganNya. Aku soal, mengapa aku? Diam. Banyak sangatkah khilaf aku sampai Kau menghukum aku sebegini? Diam. Sampai bila rasa sakit ini akan berlanjutan? Diam. Bagaimanakah caranya untuk menghentikan rasa sakit ini? Diam. Aku ini bukannya orang yang beriman, keliling pinggang penuh dengan dosa-dosa silam. Namun apabila aku soal Kau, tolonglah jawab. Aku buntu. Hendak diharapkan orang di sekeliling, mereka semua terlalu sibuk dengan urusan sendiri. Sedangkan yang dekat pun buta. Jika aku luahkan apa yang terbuku di hati, pasti akan diketawakan. Paling tidak pun, nasihat bodoh dan klise yang akan diberikan. Aku sunyi. Aku terlalu sunyi. Dahulu ketika adanya kau untuk berbual kosong, aku dapat lupakan serba sedikit rasa depresi ini. Sekarang, kesunyian makin menambah-nambah rasa perit dan pedih di hati ini. Tidak, aku tidak salahkan kau. Ini semuanya khilaf aku yang bodoh tidak reti menghargai. Oh tuhan, tolonglah. Aku sudah tidak tahan menangis setiap malam. Bertemankan rasa kecewa, marah, sedih dan hampa setiap kali mahu tidur. Aku mahu tidur dengan senyuman panjang hingga ke telinga, bukannya menangisi diri ini hingga tertidur kesepian. Aku ini bukan orang yang baik, aku tahu. Tapi bukankah aku juga layak mendapatkan sesuatu yang baik? Atau aku ini terlalu keji sehinggakan hanya penderitaan dan depresi yang mampu menjadi teman aku sehingga mati? Jika, matikanlah aku secepat yang mungkin. Tiada apa yang menarik di dunia ini. Semuanya menyakitkan sahaja.

No comments:

Post a Comment