Sunday, January 17, 2016

Aku Sang Antagonis

"Antagonis: Suatu karakter yang melawan atau menentang karakter utama (protagonis). Antagonis merupakan seorang penjahat atau pencetus konflik terhadap protagonis. Antagonis biasanya jahat dan tidak baik serta sering mempunyai nilai-nilai negatif."

Semakin lama aku memperluaskan skop perspektif, semakin aku sedar bahawa hidup aku selama ini hanyalah sebagai seorang antagonis. Aku selalu cuba membayangkan diri aku sebagai seorang adiwira yang pantas menentang kejahatan, namun baru aku sedari bahawa akulah kejahatan tersebut. Seluruh masa yang terkandung di dalam hidup aku hanya disalurkan untuk perkara-perkara berunsur jahat sahaja.

Seingat aku, aku fikir akulah mangsa keadaan. Akulah sang putera, lengkap berbaju perisai memancar sinaran mentari, pantas menunggang kuda putih yang gagah perkasa. Tugas aku hanyalah satu: Menyelamatkan sang puteri yang ditahan sang penjahat. Ya, pada mulanya akulah sang protagonis. Tetapi apabila dilihat dan diimbas semula, baru aku sedar aku ini samalah tarafnya seperti perampas. Bahawasanya sang penjahat yang aku tewaskan tersebut semuanya protagonis sebenar. Dan sudah berapa ramaikah sang puteri yang aku tersilap selamatkan? Ah, bajingan.

Aku cuba menjadi manusia yang setidak-tidaknya berguna. Aku tidak pandai memimpin sesuatu kumpulan manusia. Aku mahu cuba. Namun mungkin kerana personaliti aku yang hambar membuatkan aku sentiasa kandas di pilihan belakang. Seringkali beberapa sang dungu sahaja yang terpilih untuk memimpin. Tidak mengapa. Mungkin tugas aku sebagai penyokong. Ya, jika di dalam permainan video, karakter penyokong adalah sesuatu karakter yang sangat penting. Penyembuh, pemanah, strategis.. Ya, aku seorang strategis. Aku suka merancang, tetapi aku malas bekerja. Tidak mengapa, idea aku kesemuanya ideal dan logik. Akulah strategis yang di dalam senyap mencucuk-cucuk idea bernas di dalam setiap program yang hendak dikerjakan. Tetapi celaka sungguh, mungkin kerana wajah sugul dan membosankan aku, setiap lontaran idea yang diberikan dipandang hina dan jijik. Dan kemudiannya aku dipandang sebagai suatu watak jahat yang cuba menjahanamkan setiap cubaan orang lain. Apa? Aku cuma mahu membantu. Aku pun inginkan yang terbaik.

Baik..

Dahulunya aku seorang yang baik. Dungu juga, mungkin. Dan lurus bendul. Aku bukanlah seorang yang hip ataupun bijak bergaul semasa kecil. Di sekolah rendah, aku dibuli teruk. Pulang sahaja dari sekolah, aku akan menangis dan mengadu bermacam-macam pada Emak dan Abah. Aku tidak pandai berkawan. Sekarang juga tidak pandai berkawan. Dahulunya jika aku mencarut atau berbahasa kasar sedikit, terasa bagai berdosa besar. Aku takut dan bingkas meminta maaf kepada Tuhan. Tetapi aku juga ingin berkawan. Kawan-kawan aku semuanya menyelang-nyelikan setiap patah kata dengan carutan. Mungkin jika aku berbuat sedemikian, aku akan diterima untuk berkawan dengan mereka. Ya, mungkin zaman aku dibuli juga akan berakhir. Dan di situlah matinya aku yang naif dan lurus.

Aku pernah berbuat nakal di rumah semasa umur entah berapa tahun. Emak memarahi aku dan berkata, "Jahat sungguh!" atau yang sama waktu dengannya, aku tidak berapa ingat dialog sebenar. Namun itulah dialog klise yang diujarkan ibu bapa tiap kali anak berbuat nakal. Entah kenapa pada masa itu, kata-kata Emak terasa pahit untuk aku telan. Bukan seperti tertusuknya bilah yang tajam pada jantung ini. Tetapi bilah yang sudah tumpul, berkarat dan tidak sempurna bentuknya. Lebih sakit dan pedih. Aku telan segumpal liur dan kecur berasa masin pada ketika itu. Ingin sahaja aku teriak kuat tetapi aku tahan. Tiba pada waktu malam, semasa aku sedang berbaring di atas tilam dan Emak menepuk-nepuk bantal, aku telan seketul gumpal liur yang terasa amat kelat sekali. Aku buka mulut dan soal perlahan, "Emak, Chik ni jahat sangat ke?". Belum pun habis soalan, tangis mengalir di alis mata dan aku teriak kuat bagai budak bodoh kehilangan ibu di pasar raya. Emak cepat-cepat memeluk aku dan katakan bahawa tiada satu pun yang dia katakan pada petang tadi benar-benar dia maksudkan. Sekadar mahu memarahi aku.

Entah kenapa aku teringat babak silam tersebut yang sudah lama terkubur di dalam kotak memori aku. Tetapi terasa sama perasaan telan liur dan gelinangan tangis tersebut, seolah-olah aku berada di atas tilam yang sama dan pada waktu yang sama. 

Aku sedar. Sepanjang hidup aku berbuat jahat. Akulah karakter antagonis di dalam jalan cerita orang lain. Aku mahu jadi protagonis. Aku tidak mahu hidup di dalam penyesalan. Beberapa kali aku cuba menyimpang dari lorong gelap dan duduk sebentar di bawah tiang lampu. Aku cuba untuk berubah. Tetapi tiada yang perasan, bahkan tohmahan yang aku terima. Lantas aku kembali ke lorong gelap tersebut. Biar membuta berjalan meraba ke sana ke sini.

Aku ini bukanlah orang yang baik. Aku sedar. Tetapi aku cuba untuk berubah. Aku tidak akan pinta pujian ataupun ganjaran daripada kalian, daripada kamu. yang aku pinta satu-satunya ialah sokongan ikhlas. Yang ini aku betul-betul harapkan daripada kamu. Namun kamu sudah pergi. Motokar yang kita pacu bersama selama beberapa ketika ini sudah berhenti di perhentian yang tidak asing bagi aku: Lorong gelap. Aku ditendang keluar dan kamu terus pacu tanpa toleh kebelakangan, tanpa sebarang penjelasan. Aku kembali buta di lorong gelap yang sama.

Tetapi ada muncul sensasi merah yang dapat aku lihat disebalik kelopak mata ini. Sensasi merah yang terhasil dari sinar tiang lampu yang dahulunya pernah menjadi persinggahan aku. Janganlah aku kembali ke lorong gelap lagi, akan kerana hati ini sudah terlalu hitam. Berikanlah aku peluang untuk menyinarinya dengan cahaya setelah sekian lama ia bermandikan bayang dosa-dosa silam.

Sesungguhnya aku ini bukanlah orang yang baik. Aku sang antagonis. Namun, aku mahu menjadi protagonis di dalam jalan cerita aku sendiri. Dengan sokongan kalian mahupun tidak, in shaa Allah. Dan pada ketika itu, janganlah kalian, janganlah kamu menyesal. Sekian.

No comments:

Post a Comment