Saturday, September 12, 2015

I'M OKAY

Baru sahaja dua puluh dua tahun hidup dan aku rasa kemuncak depresi di dalam diri ini semakin lama semakin tiba ke penghujungnya. Bukan 'penamat' di mana segala kesakitan akan reda hilang begitu sahaja. Tetapi 'penghujung' di mana sesuatu limitasi sudah tidak boleh membendung kemuncak rasa dan akan meletus membinasakan hati yang semakin lama semakin rabak dan akal yang semakin lama semakin koyak. But I'm okay.

Sejujurnya aku tidak pernah merasa hidup sebati di dalam suatu kelompok masyarakat mahupun kumpulan kecil bergelar kawan atau keluarga. Akan timbul suatu jenis rasa asing yang membuatkan aku secara magisnya mengasingkan diri tanpa perlu disuruh. Terkadang itu aku berasa seperti aku ini bukannya makhluk bumi tetapi makhluk asing yang sedaya upaya cuba meniru lagak berlagak makhluk penghuni planet ini yang secara harfiahnya memiliki dua wajah; wajah sengih tatkala menginginkan sesuatu dan wajah bengis sesudah mendapatkan sesuatu. Jujur aku takut berhadapan dengan kesemua golongan ini dan itulah punca kebanyakan sisa masa hidup lalu ku diluangkan terperuk di dalam bilik bertemankan fantasi angan di mana senarionya aku ini bukanlah seorang extrovert yang disenangi ramai orang. Namun itu hanyalah fantasi yang tidak mungkin menjadi suatu realiti. But I'm okay.

Banyak benih negatif ditanam di dalam hati dan aku sirami dengan duka setiap hari sebelum tidur. Adakalanya aku berselubung di dalam selimut bagai janin di dalam rahim. Mungkin kerana itulah permulaan kepada segala permasalahan. Aku tidak pernah pinta dilahirkan ke dunia yang maha kejam ini. Tetapi tidak pula aku berani mati kerana aku sendiri tahu andai kata aku mati nescaya neraka jahanamlah destinasi aku kerana aku ini pendosa tegar yang maha angkuh. Aku fikir punca utama aku wujud ke dunia ini adalah kerana ibu bapa aku tiba-tiba berasa horny pada suatu malam dan sembilan bulan kemudian aku dilahirkan. Menjadi anak tengah memang nyata sukar. Kakak aku dilayan bagaikan seorang puteri raja oleh bapa aku. Apa sahaja yang dipinta akan terus diberi dengan kadar yang pantas. Perangai teruk mengalahkan kapitalis tetapi yang dipinta tetap dapat akan kerana satu-satunya anak perempuan dan juga anak sulung seolah-olah mendapat suatu jenis imuniti. Kebebasan diberikan kepada sang dara walhal jelas nyata sang teruna lebih reti menjaga diri. Beribu wang dihabiskan untuk membesarkan sang penganggur yang mulutnya tiada insurans, seolah-olah syurga ibu itu di bawah telapak kakinya sendiri. Adik aku pula ibarat seorang wali yang pada mata ibu aku tersangatlah sempurna tanpa sebarang cacat cela. Dijulang tinggi kejayaannya dan disanjung besar oleh jiran tetangga. Semua yang dipinta nescaya akan dapat. Heh jika tidak dipinta pun tetap akan dapat kerana mindset ibu yang mahukan yang terbaik demi si adik dan pencapaian akademiknya. Baru-baru ini jelas ketara aku nampak perbezaan darjat di antara aku dan adik-beradik yang lain. Bila si kakak berhenti kerja dari ibu negara, aku yang dicacaikan atas dasar kehendak ibu dan kasihankan bapa. Bila si adik mahu sambung belajar, aku juga yang dicacaikan biar penat tubuh badan. Namun ada aku dengar ucapan terima kasih? Haram. Mungkin itu haram diucapkan kepada anak yang paling rendah darjatnya di dalam rumah barangkali. Aku tidak pinta banyak. Cuma jangan dibandingkan dan mohon tunaikan tanggungjawab kalian. Ini bila adik mahu sambung belajar, terus seratus peratus fokus diberikan untuk kelengkapan dia. Ya mungkin nampak remeh dan mengada-ngada tetapi apakah aku bukan anak mereka? Jika mahu tumpu pada satu sahaja lebih baik aku berhenti belajar dan tambahkan sahaja lagi bilangan penganggur di dalam rumah. Lebih mudah begitu bukan? Aku rasa macam orang asing yang sekadar hidup menumpang di dalam rumah itu. Cukuplah hanya memenuhi ruang kamar. Mati pun tidak mengapa bukannya ada yang akan perasan jasad aku membusuk di atas katil. Apabila menjelma hari jadi kakak atau adik, ibu akan bersungguh-sungguh memaksa aku untuk mengucapkan apa yang patut kepada mereka dan aku akur. Ibu pula akan mendoakan mereka betul-betul di hadapan mereka. Ingin tahu apa yang aku dapat? Abah sekadar datang menjengah aku di pintu kamar dan mengucap selamat hari jadi. Si kakak pula pura-pura bodoh. Si adik sekadar mengucapkan hb di Twitter. Ibu pula yang mengandungkan aku selama sembilan bulan hanya sekadar mengucapkan selamat di Facebook dan bukannya berdepan mata dengan aku. Aku hidup dua puluh dua tahun dengan mereka dan ini yang aku dapat. Layanan dingin ibarat aku telah membunuh seseorang. Aku tidam pinta hadiah mahupun kek. Cukuplah sekadar dua ciuman oleh ibu di kedua-dua belah pipi ku dan juga bapa memeluk erat tubuh anaknya ini. Love and compassion. Itu yang aku mahukan daripada keluarga aku. Bukannya pandangan sinis dan dialog skeptik pada setiap perbuatan aku. Sudahlah berkonvo pun seorang diri, sambut hari jadi pun seorang diri juga. But I'm okay. 

Sengaja aku luahkan di sini kerana aku sunyi. Aku mahukan seorang pendengar setia kepada setiap permasalahan aku. Ya memang benar Allah itu Maha Mendengar. Berkali-kali aku duduk di atas tikar sejadah dan mengadu tentang kesunyian aku dan mengharapkan suatu bisikan sebagai balasan dan solusi terhadap permasalahan ini. Aku mendambakan seorang peneman. Seorang pengantara di antara aku dan Dia. Aku fikir aku sudah jumpa. Dan buat seketika setelah beberapa sekian lama aku terasa hidup dan segar bagaikan baru lahir ke sebuah dunia baru. Buat pertama kalinya aku tidak berasa sunyi dan asing. Aku berasa mampu untuk mengambus kembali rasa perit disisihkan yang lain dan terus gagah bergerak ke hadapan. Tetapi sekali lagi itu semuanya dusta yang dibina fantasi dan angan-angan di mana semuanya sempurna walhal hidup aku sememangnya binasa. Mungkin tiada siapa mahu berdamping dengan orang bermasalah kerana takut terpalit dengan segala aura negatif. Mungkin kerana aku ini ibarat sebuah bom jangka masa yang sangat sensitif hinggakan sedikit hentakan mampu membuatkan aku meletus dan impaknya mampu membinasakan orang di sekeliling. Mungkin juga orang pandang aku ini sehina-hina dan serendah-rendah manusia hinggakan mereka terlalu mulia untuk menghargai setiap usaha aku untuk membahagiakan mereka. Tidak mengapa. Aku tidak membenci kalian. Sebaliknya aku membenci diri ini yang tidak mampu menjangkau jangkaan dan harapan kalian. My name is Afiq, and I choose solitude. But I'm not okay. 

1 comment:

  1. Afiq maybe kau ni terlalu memikirkan benda tu la. Try to become strong please. Tak betul jika aku kata kita sama kerana semua orang berbeza tetapi cara untuk solve those problems adalah kau. Kau sendiri yang kena kuat. Just love everyone, everyone will love you back. Don't expect anything from nothing. Aku tahu kau boleh Afiq, Allah tahu masalah kau. He's doing his work, trust him and live your life.

    ReplyDelete